Benelli 165S ditawarkan di pasaran Bangladesh

Sebelum ini melalui artikel terdahulu, saya telah maklumkan bahawa Benelli sedang menunggang uji sebuah model motosikal terbaharu di negara kita. Model yang dimaksudkan itu berkemungkinan besar ialah Benelli BN150S yang dijual di pasaran negara China, dilengkapi enjin berkapasiti 149.8cc dengan transmisi 6-kelajuan.

Bagaimanapun di pasaran Bangladesh, model dengan reka bentuk yang sama dikenali dengan nama Benelli 165S, dan ianya dilengkapi enjin berkapasiti 164.7cc dengan transmisi 6-kelajuan (1-cylinder, 4-stroke, SOHC, 4-valve, EFI, 3-spark plug). Ciri-ciri lain adalah sama seperti model BN150S, antaranya ialah fork depan USD, brek cakera depan dan belakang, paparan meter digital dan sistem ekzos dengan bunyi sporty.

Benelli 165S turut dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 10 liter, berat 147 kg (unladen weight), ketinggian tempat duduk penunggang 810 mm dan jarak kelegaan bumi 170 mm. Untuk pasaran Malaysia, buat masa ini masih belum dapat dipastikan sama ada Benelli akan melancarkan model BN150S atau 165S.