Model terbaharu Honda NAVI diperkenalkan di Auto Expo 2016, bakal berada di pasaran India mulai April 2016

Honda Motorcycle & Scooter India Pvt. Ltd. (HMSI) hari ini memperkenalkan model terbaharunya Honda NAVI untuk pasaran India, bertempat di tapak pamerannya di Auto Expo 2016. NAVI merupakan sebuah model di dalam segmen baharu ciptaan Honda, di mana ianya berkonsepkan keseronokan yang disasarkan untuk golongan remaja dan muda-mudi. Model tersebut bakal berada di pasaran India mulai bulan April 2016.

Menurut HMSI, Honda NAVI dibangun menggunakan tema FUN TO SEE (Fun-tastic design concept) dan FUN TO RIDE (powered by a peppy 110cc Honda HET engine with automatic transmission). Di Auto Expo 2016, Honda NAVI dipamerkan dalam tiga varian serba boleh seperti ‘NAVI street’, ‘NAVI adventure’ dan ‘NAVI off-road’. Model unik tersebut merupakan model pertama yang dibangunkan oleh bahagian R&D Honda di India, bermula dari pembangunan awalnya sehinggalah ke peringkat pengeluaran komersial.

Bagi model standard Honda NAVI, ianya ditawarkan dalam pilihan lima warna menarik seperti ‘Patriot Red’, ‘Hopper Green’, ‘Shasta White’, ‘Sparky Orange’ dan ‘Black’. Sesuai dengan penampilan modennya, HSMI telah membangunkan sebuah aplikasi Android bernama ‘NAVI’ khusus untuk generasi muda di pasaran India. Tempahan untuk membeli Honda NAVI boleh dibuat melalui aplikasi tersebut, manakala harganya ditawarkan bermula dari Rs. 39,500 (Ex-showroom, Delhi), bersamaan RM2,399.89.