Yamaha YZF-R15 versi 2016 bakal dilancarkan

Yamaha YZF-R15 model tahun 2014

Yamaha YZF-R15 generasi kedua yang juga dikenali sebagai ‘Version 2.0’, pada mulanya dilancarkan di pasaran India dalam tahun 2011, sebelum ianya dibawa masuk ke pasaran Indonesia pada tahun 2014. Model yang dijual di pasaran Indonesia dipasang oleh PT. Yamaha Indonesia Motor Manufacturing, diperkenalkan dalam pilihan tiga warna yang menarik iaitu biru, merah dan hitam. Harganya sewaktu dilancarkan sebanyak 28 juta Rupiah (OTR Jakarta).

Sejak beberapa bulan yang lepas telah kedengaran khabar berita bahawa model semasa Yamaha YZF-R15 bakal digantikan dengan model terbaharu, sama ada ianya adalah model ‘facelift’ atau pun generasi terkini ‘Version 3.0’, masih belum dapat dipastikan dengan tepat. Yamaha YZF-R15 yang berada di pasaran Indonesia, India, Thailand, Filipina dan Singapura ketika ini dilengkapi enjin 150cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, single cylinder fuel-injected engine) yang menghasilkan prestasi maksimum 17PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 15Nm @ 7,500rpm. Enjin tersebut seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan.

Sementara kita menantikan kemunculan rasmi Yamaha YZF-R15 versi terbaharu model tahun 2016 yang dikatakan bakal dilancarkan dalam tahun ini, di sini saya siarkan terlebih dahulu gambar-gambar studio model tersebut sewaktu ianya dilancarkan di pasaran Indonesia pada tahun 2014 yang lepas. Gambar-gambar itu nanti boleh dijadikan panduan untuk kita menilai perubahan yang telah dilakukan untuk model tersebut, yang pastinya akan diperkenalkan dalam penampilan atau reka bentuk baharu yang lebih menarik dan sporty.

Yamaha YZF-R15 setakat ini tidak dibawa masuk ke pasaran Malaysia, walaupun diakui model ini mempunyai daya penarik yang cukup kuat. Gaya rekaannya dengan kelengkapan ‘full fairing’ yang cukup menawan, teknologi enjin moden dengan kuasa yang memuaskan dan paras harga yang tidak terlalu tinggi, menjadikan model ini antara yang dinanti-nantikan oleh peminat motosikal di pasaran tempatan. Mungkinkah selepas kedatangan versi terbaharunya nanti, Yamaha akan melancarkannya di pasaran Malaysia? Harapannya begitulah.